Cakra Khan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan gagal mara ke peringkat separuh akhir program pencarian bakat, America’s Got Talent 2023 (AGT2023).

Namun penghibur yang turut mencipta nama di Malaysia itu tidak menganggap perkara tersebut sebagai kegagalan untuk impiannya membawa nama Indonesia ke persada dunia.

Sebaliknya pemilk nama sebenar, Cakra Konta Paryaman, 31, yang berkongsi berita terbabit  dalam akaun X menjadikan pengalaman dalam pertandingan nyanyian terbesar sebagai penguat semangat.

“Lihat di Instagram AGT2023, nampaknya nama saya tidak masuk dalam senarai peserta. Maafkan saya. Mungkin saya harus melakukan lebih banyak latihan. Teruskan mara ke hadapan,” tulisnya ringkas.

Pelantun lagu Harus Terpisah itu turut mengajak peminatnya memberi sokongan padu kepada seorang lagi wakil Indonesia, Putri Ariani.

“Sekarang sama-sama kita beri sokongan kepada Putri Ariani,” luahnya merujuk kepada gadis yang meraih golden buzzer.

Pada Julai lalu, persembahannya memukau keempat-empat juri termasuk ketua juri AGT, Simon Cowell selain meraih tepukan gemuruh penonton.

Cakra menyanyikan lagu No Woman No Cry yang dipopularkan Bob Marley menggantikan lagu Make It Rain yang disampaikan sebelum dihentikan Cowell pada tengah persembahan.

Daripada persembahan tersebut dia diberikan empat yes.

Pusingan seterusnya program yang meraih perhatian global itu bakal dilangsungkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast