Sebahagian penduduk Taman Saujana Jaya dekat Kulai gembira menerima kunci rumah masing-masing semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor terus komited memastikan setiap rakyat negeri ini  mampu memiliki kediaman sendiri.

Ini terbukti apabila kerajaan berjaya  menyediakan 110 unit rumah di Taman Saujana Jaya, Freesia di Kulai yang siap dibina selepas hampir dua tahun terbengkalai akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor  Datuk Md Jafni Shukor berkata, sebagai pentadbiran yang merasai denyut nadi dan mendengar suara hati rakyat, impian pembeli untuk mendiami rumah sendiri terutama di kawasan perumahan ini akhirnya berjaya direalisasikan.

Kejayaan itu jelasnya, hasil  kerjasama daripada pelbagai pihak berkaitan termasuklah pemaju.

Jafni dalam perkongsian kenyataan medianya hari ini berkata lagi, Kerajaan Negeri Johor mengulangi komitmen untuk sedaya upaya membantu rakyat Johor memiliki rumah termasuklah dalam usaha membina 30,000 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun, selain menyelesaikan projek perumahan sakit dan terbengkalai meskipun di luar bidang kuasanya.

“Di bawah Teras Keempat  ia termasuk Kemudahan Keperluan Asas, Kerajaan Negeri Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menggariskan lima komponen utama sebagai tonggak agar kemudahan dan keperluan asas rakyat di negeri ini dapat dipenuhi.

“Salah satu daripada komponen tersebut iaitu tentang perumahan telah meletakkan sasaran agar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) melihat empat perkara, berkaitan rumah mampu milik, rumah pangsa uzur, hartanah tidak terjual dan isu setinggan,” jelasnya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Johor berjaya menyelesaikan empat daripada 33 projek sakit dan satu daripada lapan projek terbengkalai pada tahun ini.

Semalam Jafni menyerahkan  kunci  kepada penduduk Taman Saujana Jaya yang turut dihadiri , Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani, Ketua Pegawai Operasi Glomac Berhad, Zulkifly Garib dan Ketua Pegawai Pembangunan PKPJ, Dr. Mohd Shahrizan Sahid.

Katanya lagi, penyerahan kuci itu juga membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa ‘walk the talk’ dalam menyediakan kediaman yang selesa demi kesejahteraan Bangsa Johor.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast