KOTA KINABALU – Serunding Kobis Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul Anugerah Reruai Agensi NGO kategori Reruai Inovatif pada Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2023 yang diadakan di Serdang, baru-baru ini.
Ketua Kumpulan Penyelidik, Dr. Jurry Foo berkata, idea penghasilan Serunding Kobis itu tercetus selepas pihaknya melihat kesusahan petani dan peniaga tempatan yang berdepan lambakan tanaman tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS menambah, Serunding Kobis adalah inisiatif UMS bagi membantu petani dan peniaga dalam kalangan penduduk Ranau yang berdepan kekangan pergerakan akibat pelaksanaan PKP, sekali gus menyukarkan mereka untuk memasarkan hasil pertanian masing-masing.
“Kejayaan ini membuktikan keupayaan UMS membudayakan inovasi sesuai dengan peranannya sebagai peneraju masyarakat berinovatif,” katanya.
Sementara itu, Pengurus D’Dompuron Enterprise, Rojaliah Hanti bersyukur kerana inovasi ini telah membuka peluang perniagaan dan menjana pendapatan sampingan kepada peniaga hasil pertanian.
“Sepanjang PKPK 2023, produk ini berjaya menarik perhatian para pengunjung yang hadir kerana rasanya yang menarik, unik dan sedap.
‘‘Justeru, saya juga berhasrat untuk memperluaskan lagi kapasiti pengilangan dan pengeluaran kami agar dapat melibatkan lebih ramai ahli komuniti dari kampung kami di
Libang, Ranau sebagai penerima manfaat,” ujarnya lagi.
Pemerkasaan Serunding Kobis D’Dompuron turut mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
Inovasi Serunding Kobis juga pernah memenangi pingat emas pada Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Kebangsaan (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS). – MalaysiaGazette