KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 jalan akan ditutup di Putrajaya bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, penutupan kesemua jalan itu akan dilaksanakan bermula seawal 5 sehingga 11 pagi sepanjang upacara perbarisan sambutan berlangsung.
Katanya, ia bagi membuat persiapan latihan raptai perbarisan sambutan sempena Hari Kemerdekaan yang akan dijalankan pada 27 dan 28 Ogos ini serta raptai penuh 29 Ogos di Putrajaya yang melibatkan sebanyak 18 laluan akan ditutup.
“Pada 30 Ogos ini tiada sebarang raptai perbarisan akan diadakan (hari berehat) manakala pada hari sambutan 31 Ogos nanti seawal 5 pagi semua 22 jalan di Putrajaya berhampiran kawasan Perbarisan Hari Merdeka akan ditutup daripada diakses orang awam.
“Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan pada kali ini di Putrajaya dan semua dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam Mass Rapid Transit dan Ekspres Rail Link (ERL) untuk hadir ke sambutan.
“Bagi menghadapi cabaran dalam menjamin keselamatan dan kelancaran trafik di sekitar kawasan Putrajaya, seramai 1,764 pegawai dan anggota akan terlibat dalam tugas bermula 25 Ogos ini termasuk 171 anggota petugas trafik yang akan mengawal aliran trafik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menyedari kekangan penyediaan tempat meletakkan kenderaan yang agak terhad untuk kesemua 100,000 pengunjung pada hari sambutan nanti, beliau juga menasihatkan pengunjung datang lebih awal sebelum penutupan jalan dan menggunakan kenderaan awam bagi mengelak kesesakan dan masalah parkir.
Beliau juga meminta orang awam agar tidak meletakkan kenderaan merata-rata tempat sehingga menghalang sekatan dan boleh mengganggu lalu lintas dan menggunakan kemudahan bus shuttle yang disediakan oleh penganjur untuk memudahkan urusan ulang alik.
“Kita juga menasihatkan semua pihak agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menerbangkan dron tanpa kebenaran sama ada di kawasan perbarisan sepanjang majlis berlangsung dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan bertindak tegas menurunkan sebarang dron yang diterbangkan di kawasan sambutan selain akan memastikan tiada sebarang banting atau plaikat memiliki unsur sensitif atau bersifat provokatif dipamer pada hari sambutan itu,” tegasnya.
Mengulas mengenai menjelang Ambang Kemerdekaan kali ini, sambutan akan diadakan dengan pertunjukan bunga api dan konsert oleh penganjur di Dataran Merdeka dan KLCC kecuali Bukit Bintang.
Bagi sambutan Ambang Merdeka, seramai 1,211 pegwai dan anggota akan terlibat dalam kawalan keselamatan di ketiga-tiga lokasi tumpuan ramai itu termasuk di Dataran Merdeka yang akan ditutup kepada kenderaan manakala tiada penutupan di KLCC dan Bukit Bintang bergantung kepada situasi.
Pasukan kita di ketiga-tiga lokasi berkenaan akan dibantu oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal sambutan di situ pada tengah malam dan laluan ke Dataran antaranya Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Razak akan ditutup selawal 5 petang, katanya. – MalaysiaGazette