KUALA LUMPUR – Puspakom melancarkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma sempena cuti sekolah bermula pada 26 Ogos hingga 1 September 2023 untuk menggalakkan keselamatan di atas jalan raya,
Kempen ini yang turut dikenali sebagai ’Free VVI’ (Voluntary Vehicle Inspection) ditawarkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian khususnya bagi mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan jauh seperti balik ke kampung atau pergi bercuti.
Tanda pagar #drivesafenoregrets yang sudah sinonim dengan kempen ini bertujuan mengingatkan masyarakat terutamanya pemandu kenderaan yang merancang untuk pulang ke kampung ataupun bercuti agar memastikan kenderaan mereka dalam kondisi yang terbaik dan selamat dipandu sebelum memulakan perjalanan.
Pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma ini boleh hadir secara walk-in ke mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara (kecuali cawangan Shah Alam, Taman Bukit Maluri dan Pasir Gudang) dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Selain itu, penduduk sekitar Ampang berpeluang mendapatkan pemeriksaan kenderaan secara percuma menggunakan Unit Bergerak Puspakom yang akan berada di Lotus Ampang pada 26 Ogos 2023 dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Puspakom berkata, kempen pemeriksaan percuma ini merupakan salah satu tanggungjawab korporat syarikat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan kenderaan di samping untuk mengalakkan mereka untuk melakukan pemeriksaan kenderaan secara berkala.
Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini tertumpu kepada aspek keselamatan iaitu pemeriksaan bahagian brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan banyak lagi. – MalaysiaGazette