Pasukan pesawat akrobatik negara membuat latihan diruang udara pada sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 29 OGOS 2018.
Pasukan pesawat akrobatik negara membuat latihan diruang udara pada sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya. foto arkib MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Ruang udara Putrajaya akan ditutup selama 60 minit mulai esok (26 Ogos) hingga 31 Ogos bagi memberi laluan kepada persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan, badan itu telah mengeluarkan nasihat menerusi Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) berhubung perubahan sementara kawalan ruang udara dan pengurusan trafik udara di dalam dan ruang udara sekitar Kuala Lumpur.

Menurut  CAAM, nasihat itu dihebahkan memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan 2023 sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang akan diadakan di Putrajaya, pada 31 Ogos ini.

“Objektif perubahan ini adalah untuk memastikan aliran trafik udara yang selamat, teratur dan pantas sebelum, semasa dan selepas acara lintas hormat dan payung terjun dengan mengambil kira peningkatan jumlah pergerakan dan pengendalian khas yang diperlukan sepanjang acara sambutan ini,” menurut kenyataan itu.

Ruang udara Putrajaya akan ditutup dari 11 pagi hingga 12 tengah hari dari 26 Ogos hingga 28 Ogos untuk latihan penerbangan lintas hormat dan masnig-masing dari 9.45 pagi hingga 10.45 pagi pada 29 Ogos dan 31 Ogos, untuk raptai penuh serta perarakan sambutan hari sebenar.

Memandangkan banyak penerbangan dijangka tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum dan selepas penutupan ruang udara dalam Kawasan Terminal Kawalan Kuala Lumpur (TMA), pengendali syarikat penerbangan dinasihatkan untuk merancang penerbangan mereka untuk mendarat atau berlepas dengan baik sama ada sebelum atau selepas penutupan untuk mengelakkan kelewatan.

“Pengendali pesawat juga dinasihatkan untuk mengambil kira kemungkinan berlaku kelewatan ketibaan ke KLIA atau klia2 selepas penutupan dan merancang bahan api yang mencukupi sekiranya penangguhan perlu dilaksanakan,” menurut CAAM.

Sementara itu, CAAM memaklumkan memandangkan operasi helikopter dan aktiviti payung terjun akan dilaksanakan mulai hari ini (25 Ogos) hingga 31 Ogos dari 7.45 pagi hingga 8.55 pagi setiap hari, operasi KLIA dan klia2 berjalan biasa sepanjang tempoh tersebut.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini dengan tema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast