Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan pelaksanaan Modul Hadis 40 Imam Nawawi tidak harus dipolemikkan kerana modul ini diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pelaksanaan modul ini bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara untuk memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda Muslim.

Menurutnya, bahkan hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih, sekaligus dapat membasmi fahaman
melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.

Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini, ia secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.

Dalam masa sama, ABIM juga menegaskan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan tidak hanya bersifat ritual.

Sebaliknya tafsiran kepada perutukan Perlembagaan tersebut adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia.

Justeru ABIM menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast