ROMPIN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata penjelasan secara proaktif dibuat, bagi menerangkan keperluan ahli parti mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, 9 Sept ini.
Beliau berkata keperluan mengundi calon PH pada PRK itu berdasarkan kerjasama BN-PH, dan penjelasan dimulakan sejak sebelum hari penamaan calon, manakala tindakan susulan akan dilakukan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Saya yakin dengan bantuan kepimpinan bahagian di seluruh Johor untuk menjelaskan perkara ini (keperluan mengundi calon PH). Pengundi kita juga tidak harus keliru dan Menteri Besar Johor beritahu akan ada latihan untuk hardcore pengundi BN, belajar mengundi PH.
“Ini akan dibuat di peringkat lokaliti dan pusat daerah mengundi (PDM) dan telah dimulakan semalam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Biogas Kilang Sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), di Loji Biogas Ulu Keratong di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa ditanya langkah BN bagi memastikan pengundi BN, khususnya warga emas, sedar mereka perlu memangkah calon PH selain tidak keliru jika tidak melihat lambang ‘dacing’ pada kertas undi, bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.
PRK bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan ekoran kematian panyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas, semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah akibat pendarahan otak.
Dua PRK itu menyaksikan calon PH bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan iaitu Suhaizan Kayat di Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman bagi DUN Simpang Jeram, dengan kedua-dua mereka berdepan saingan tiga penjuru daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata pihaknya sedang menambah baik penggunaan media sosial, selepas kurang menguasai platform tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang lepas, sedangkan ‘perang saraf’ di media sosial lebih menguasai minda dan keputusan pengundi pada masa kini.
“Ia (penggunaan media sosial oleh parti) kurang berkesan pada PRN kerana baharu dimulakan, maka pengikut daripada pempengaruh kita agak ketinggalan. Tetapi kita belajar daripada pengalaman itu, dan menambah baik penggunaan media sosial.
“Kita juga ada pendekatan lain, terutamanya daripada Wanita UMNO yang bergerak bukan lagi menggunakan kajian sikap secara konvensional, tetapi mereka telah mengubah kaedah untuk melihat corak sokongan atau sebaliknya kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja dimainkan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram oleh segelintir pihak bagi menarik sokongan, Ahmad Zahid optimis rakyat Johor tidak mudah untuk menerima isu tersebut.
“Sikap rakyat Johor berbeza dan saya lihat mereka sebenarnya menolak isu-isu sempit sebagaimana yang dibangkitkan pada pilihan raya di enam negeri sebelum ini,” katanya.- BERNAMA
Tq sahabat dari UTM semuga Selamat tiba dan terus mengajar disana. Bertemu berbual sambil menjamu selera di KL.
Beliau memaklumkan “hijrah minda” pelajar anak muda Rakyat Johor terhadap UMNO amat membimbangkan. Situasi ini “tidak terkecuali” di PRK Pulai dan DUN sekarang. Isyarat AnakMuda kian melebar seperti air “bersedia” menghancur bukit bukau. Pengakuan “memeranjatkan” sahabat berkata…aku juga seperti “AZAM” AnakMuda jika aku mengundi disana…. aikk Pensyarah pun ikut pelajar…