LONDON – Marcos Alonso mengambil keputusan untuk terus kekal di Barcelona, sekali gus menolak tawaran menyertai Manchester United musim ini untuk kontrak dua tahun.
United kini sedang mengisi kekosongan ditinggalkan Luke Shaw yang terpaksa berehat beberapa bulan susulan kecederaan otot yang dialami pemain berusia 32 tahun itu dilihat sebagai calon berpotensi.
Menurut laporan Marca, United berhubung dengan Barcelona untuk mendapatkan pemain itu secara pinjaman dan menawarkan kontrak dua tahun supaya dia terus kekal di Old Trafford selepas kontraknya bersama Barcelona berakhir musim ini.
Namun, bekas pemain Chelsea itu menolak peluang untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mahu menghabiskan musim terakhirnya di Sepanyol.
Ketika ini, Alejandro Balde menjadi pilihan utama di posisi bek kiri Barca berikutan pemergian Jordi Alba ke Inter Miami.
Alonso pernah membuat 179 penampilan di EPL bersama Bolton, Sunderland dan Chelsea selain memenangi gelaran liga bersama The Blues pada 2017.
Dia turut memenangi lima lagi trofi utama sepanjang enam tahun bersama Chelsea iaitu Piala FA, Liga Europa, Liga Juara Juara, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab. – Agensi