Gambar hiasan

GUA MUSANG – Belum pun reda dengan dakwaan serangan haiwan buas di Pos Bihai, kini penduduk Orang Asli di Pos Belatim dibelenggu ketakutan setelah anjing peliharaan mereka ditemukan mati dipercayai menjadi mangsa serangan harimau belang di penempatan tersebut sejak minggu lalu.

Penduduk suku kaum Temiar mendakwa kesan kehadiran haiwan buas terbabit ditemukan di sekitar Kampung Chachuh, Kampung Sempadik, Kampung Cekrok, Kampung Penusin, Kampung Kajak, Kampung Kenben, Kampung Kansid dan Kampung Belatim, sejak 24 Ogos lalu.

Seorang penduduk Kampung Chemal, Kamal Pedik, 45, mendakwa kejadian terbaharu berlaku di kampung tersebut pagi kelmarin selepas beberapa ekor anjing peliharaan penduduk ditemukan mati dengan kesan gigitan di kepala, selain penemuan tompokan darah dan tapak kaki ‘Pak Belang’ di kawasan rumah dan sekitar padang berdekatan.

“Sebahagian penduduk sepakat berkumpul di Klinik Kesihatan Kampung Chemal, Pos Belatim dengan membawa lembing, parang serta senjata lain untuk menjaga keselamatan kira-kira 30 penduduk Kampung Chemal di bangunan berkenaan.

“Kami mengambil keputusan untuk berpindah beramai-ramai ke klinik kerana berasa lebih selamat dengan pagar besi di sekeliling,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Belatim Roireng Ngah, 30, berkata setakat ini empat bangkai anjing ditemukan pleh penduduk kampung dipercayai mangsa serangan Pak Belang.

“Kesemua kejadian serangan berlaku sekitar waktu malam dan awal pagi pada 24 Ogos, 25 Ogos dan 27 Ogos ini, di kampung yang berbeza.

“Harapan saya agar permasalahan ini segera ditangani. Saya juga ingin meminta pihak berwajib memberi bantuan dari segi lampu solar di setiap kampung kerana kawasan ini sangat gelap menjelang malam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata tiada aduan diterima berkenaan kejadian serangan harimau di penempatan terbabit.

“Kami belum menerima aduan daripada penduduk Orang Asli Pos Belatim berkenaan serangan terbaharu harimau belang di kawasan penempatan mereka.

“Walau bagaimanpun ketika ini, pasukan Perhilitan Gua Musang berada di kawasan penempatan Orang Asli bagi membuat pemantauan selepas menerima aduan daripada penduduk Orang Asli di Pos Bihai,” katanya.

Ahad lepas, penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai mendakwa telah menemukan beberapa kesan kehadiran haiwan pemangsa terbabit di sekitar Kampung Tendrik, Kampung Sau, Kampung Hak, Kampung Badak dan Kampung Bihai Lama, sejak Jun lalu.  – BERNAMA