JOHOR BAHRU – Masalah parkir awam yang sesak teruk di Hospital Sultanah Aminah (HSA) nampaknya masih belum ada jalan penyelesaian.
Sebaliknya masalah yang berlaku sejak bertahun-tahun lalu menjadi semakin parah disebabkan peningkatan jumlah orang ramai yang mendapatkan rawatan di HSA.
Akibatnya, orang ramai yang datang membuat temu janji di HSA perlu memakirkan kenderaan di bahu jalan.
Menurut Helmee Mohd Rosman,55, masalah tempat parkir terhad sudah tentu menyusahkan pengguna yang berusia sepertinya kerana terpaksa berpusing berkali-kali semata-mata mahu mencari parkir.
“Biasanya kalau saya hantar orang rumah atau saya sendir, biasanya tempat parkir berbayar memang penuh. Jadi kita terpaksa parkir di bahu jalan.
“Walaupun Majlis Bandaraya Johor Bahru ada buat tempat parkir dekat dengan Dataran Bandaraya tetapi masih tidak mencukupi, jadi kita terpaksa letak kereta di sepanjang bahu jalan sepanjang Pantai Lido.
“Tetapi nak letak kenderaan di situ pun kita risau, takut kena saman. Jadi, kalau saya jumpa tempat kosong sepanjang jalan di HSA saya letak saja kereta.
“Nak buat macam mana, sebab saya pun kadang-kadang kejar waktu rawatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pada masa sama, Helmee mahu pihak berkuasa tempatan bertimbang rasa terhadap pesakit yang terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan.
“Kalau boleh beri pertimbangan, jangan sesuka hati tunda kereta kerana kami pun ada masalah tidak ada tempat yang sesuai,” katanya lagi.
Seorang warga emas, Abdul Ghani Muntahah, 66, mengakui kesesakan tempat meletak kenderaan di HSA boleh menimbulkan kemarahan orang ramai.
Lebih menyukarkan lagi apabila pesakit atau warga emas sepertinya terpaksa berjalan jauh ekoran tiada tempat meletak kenderaan.
“Bagi saya tempat parkir kena buat dua atau tiga tingkat kerana kalau setakat parkir bawah memang tak cukup.
“Macam saya ni, setiap kali datang untuk rawatan susulan memang tak pernah dapat parkir. Saya sudah lama dapatkan rawatan di sini, macam inilah keadaannya, boleh buat sakit jiwa,” ujarnya yang sudah berpusing tiga kali untuk mencari parkir.
Sementara seorang lagi penduduk Johor yang sering mendapatkan rawatan di HSA, Sukiman Mod Arifin, 56 berkata, masalah tempat kenderaan di hospital ini sudah berlarutan sejak sekian lama.
Kesesakan yang berlaku hampir setiap masa kerana jumlah pesakit terus bertambah.
“Kekurangan tempat letak kenderaan menjadi masalah utama pesakit HSA, mahupun pelawat. Tidak sah, kalau tak berpusing-pusing kalau datang sini,” tambahnya.
Sementara itu, MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di HSA mendapati kawasan parkir HSA penuh seawal pagi lagi apabila kenderaan bertali-arus memasuki perkarangan hospital ini.
Jumlah parkir yang ada tidak dapat memenuhi ribuan kenderaan yang datang secara berterusan.
Disebabkan kekurangan kemudahan letak kereta yang ada, pesakit tiada pilihan lain kecuali menggunakan ruang yang ada, walaupun tidak selamat kerana berisiko disaman atau kereta ditunda. – MalaysiaGazette