KUALA LUMPUR – Sebanyak 160 tempat mengundi disediakan untuk pemilihan MCA pusat bagi penggal 2023-2026 dan 155 tempat mengundi bagi pemilihan sayap Pemuda dan Wanita parti itu.
Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon berkata, selain itu, seramai 2,979 orang petugas akan terlibat dengan proses pengundian, mengira kertas undi serta memantau.
“Saya juga menyeru kepada semua pengerusi bahagian dan cawangan di seluruh negara supaya mengingatkan perwakilan di bahagian masing-masing untuk mengundi tepat pada masanya di tempat mengundi yang berkenaan pada hari mengundi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, perwakilan MCA Bahagian, sayap Pemuda dan Wanita juga boleh membuat semakan tempat mengundi masing-masing melalui portal rasmi Pemilihan MCA di http://mcape.mca.org.my.
MCA akan mengadakan pemilihan bagi peringkat pusat pada 24 Sept ini manakala yang melibatkan sayap Pemuda dan Wanita pula ditetapkan pada 23 Sept dan disusuli dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 21 dan 22 Okt.
Proses penamaan calon bagi kesemua jawatan termasuk kedua-dua sayap akan diadakan pada 11 Sept ini.
Proses pemilihan parti dibuat mengikut Perkara 167 Perlembagaan MCA yang memperuntuk ia perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum. – BERNAMA