KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menafikan beliau kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada Isnini lalu..
“Saya kalah? Tak, saya berjaya menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit TH.
“Ia dibayar sebagai deposit oleh syarikat Tamaco Sdn Bhd yang dijual ketika pentadbiran Pakatan Harapan tetapi dibatalkan di era Perikatan Nasional,” katanya menerusi kenyataan ringkas di Facebook di sini.
Semalam, media melaporkan Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH menyifatkan episod fitnah berhubung aset TH dijual kepada orang bukan Islam, kini berakhir.
Artikel berkaitan:Berakhir sudah episod fitnah aset TH dijual pada bukan Islam – Mujahid
Ia susulan tindakan Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuannya berhubung saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Isnin lalu.
Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.
Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor sebelum ini, menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Ahmad Dusuki kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan berkenaan dengan kos RM7,000. – MalaysiaGazette