KUALA LUMPUR – Penderitaan anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mendapat perhatian Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah menghantar setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi melawat Sazali dan menyampaikan bantuan daripadanya.
Anwar rasa sedih kerana Sazali tidak lagi mempunyai kekuatan untuk bekerja selepas terlibat dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Isteri Sazali pula memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher.
“Alhamdulillah, saudara Farhan telah berjumpa Sazali petang tadi. Saya amat berharap sedikit sumbangan dari pihak saya ini dapat meredakan beban yang ditanggung Sazali dan isteri. Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, Insya-Allah,” kata Anwar dalam media sosialnya. – MalaysiaGazette