Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Lebih 85 peratus Institut Pengajian Tinggi (IPT) mencapai Kategori Berdaya Saing dalam Penarafan SETARA dan MyQUEST 2022.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataannya menyifatkan keputusan tersebut sebagai pencapaian yang memberangsangkan.

Dalam masa yang sama, ia membuktikan usaha berterusan dari kementerian dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.

“Bagi penarafan SETARA, sebanyak 90 buah (86.54 peratus) daripada 104 buah IPT telah mendapat keputusan Berdaya Saing dan sebanyak 14 buah (13.46 peratus) IPT mendapat keputusan Berdaya Maju.

“Bagi penarafan MyQUEST pula, sebanyak 158 buah (90.29 peratus) daripada 175 buah kolej telah mendapat keputusan Berdaya Saing manakala sebanyak 17 buah (9.71 peratus) kolej mendapat keputusan Berdaya Maju,” menurut KPT.

Sehubungan itu KPT berharap, keputusan berkenaan akan menggalakkan seluruh IPT dalam negara untuk berusaha ke arah pendidikan tinggi yang setaraf dengan peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan membuat pembaharuan dalam pelaksanaan SETARA dan MyQUEST 2022 menerusi pembahagian kepada dua kategori sahaja berbanding enam sebelum ini.

“Penetapan kategori baharu bagi Penarafan SETARA dan MyQUEST 2022 ini mengambil kira kesan pandemik Covid-19 ke atas pengurusan IPT.

“Ia dilihat sebagai salah satu pendekatan yang adil dan realistik kepada IPT memandangkan data yang dinilai meliputi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang merupakan tahun-tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

“Oleh yang demikian, keputusan penilaian Penarafan IPT 2022 hanya mengguna pakai data tahun 2021 sahaja,” jelas kementerian berkenaan.

SETARA merupakan sistem penilaian bertujuan untuk mengukur jaminan kualiti dan standard IPT bagi Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) kategori Universiti dan Kolej Universiti.

Manakala MyQUEST bertujuan menilai prestasi IPTS kategori kolej di Malaysia.

Kedua-dua kategori ini dinilai berdasarkan instrumen dan indikator yang ditetapkan bagi memacu kepada peningkatan pendidikan berkualiti.

Terdahulu, sebanyak 104 IPT bertaraf Universiti dan Kolej Universiti telah menyertai penarafan SETARA manakala 175 kolej telah menyertai penarafan MyQUEST. – MalaysiaGazette