Kelapa sawit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mungkin didagangkan dengan kecenderungan menurun minggu depan jika pelabur mengekalkan pendirian berhati-hati menjelang pengeluaran data industri yang agak tinggi.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, peningkatan dalam pengeluaran serta jangkaan inventori yang lebih tinggi dalam negara berikutan musim pengeluaran puncak semasa dan penurunan eksport mungkin menjejaskan harga.

IcebergX Sdn Bhd meramalkan pengeluaran serta stok minyak sawit melonjak 5.0 peratus dan 2.0 peratus, masing-masing kepada 1.69 juta tan serta 1.77 juta tan pada Ogos, manakala eksport mungkin merosot 5.0 peratus kepada 1.29 juta tan.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengeluarkan data rasmi Ogos tidak lama lagi.

Pada Julai, inventori minyak sawit Malaysia meningkat kepada paras tertinggi lima bulan sebanyak 1.73 juta tan, berdasarkan pengumuman MPOB.

Namun begitu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin dari Mumbai Anilkumar Bagani menjangkakan cuaca berkaitan El Nino akan mendominasi keseluruhan pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan Indonesia.

Untuk Malaysia, pengaruh cuaca El Nino diunjurkan meningkat mulai hujung 2023 hingga awal 2024 .

Oleh itu, beliau berkata, fenomena itu boleh membantu meringankan bekalan pada bulan-bulan pengeluaran musim puncak dan ini akan menyokong harga minyak sawit dalam masa terdekat.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berikutan aliran menaik dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan lonjakan niaga hadapan minyak sayuran China di Bursa Komoditi Dalian.

Pada asas mingguan, kontrak September 2023 naik RM50 kepada RM3,910 satu tan, Oktober 2023 menambah RM52 kepada RM3,989 satu tan dan November 2023 mengukuh sebanyak RM68 kepada RM4,030 satu tan.

Disember 2023 meningkat RM85 kepada RM4,067 setan, Januari 2024 adalah bertambah baik sebanyak RM89 kepada RM4,090 setan dan Februari 2024 melonjak RM91 kepada RM4,105 setan.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 208,227 lot berbanding 270,24 minggu sebelum ini. kepentingan terbuka naik kepada 208,791 kontrak daripada 200,992 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan menambah RM50 kepada RM3,930 setan daripada RM3,880 setan yang dicatatkan pada minggu lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast