Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Remaja lelaki 15 tahun yang terlibat dalam nahas lima sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu dalam keadaan stabil.

Lantaran itu, Ketua Polis Daerah Segamat menafikan laporan kononnya mangsa telah meninggal dunia.

Suptritendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, jumlah mangsa kemalangan maut itu masih kekal enam orang.

Jelasnya, mangsa, Abdullah Amir Ruddin masih mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat itu dan kini menggunakan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, katanya, polis telah mengesan satu laporan berita pada pukul 6.30 petang semalam yang mendakwa remaja berkenaan meninggal dunia.

Lantaran itu, beliau memohon agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang berita yang tidak pasti kesahihannya kerana ia boleh memberi kesan kepada emosi keluarga yang masih bersedih.

Tambahnya. segala perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Ahmad Zamry juga meminta pihak media agar mendapatkan segala maklumat dari pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang berita bagi memastikan berita yang dikeluarkan adalah benar-benar sahih.

Jumaat lalu, enam sekeluarga yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.37 petang itu melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah lori.

Nahas jalan raya itu berpunca daripada sebuah lori yang gagal dikawal yang terbabas memasuki laluan bertentangan. – MalaysiaGazette

Enam keluarga maut nahas jalan raya dijangka dikebumi Parit Jawa