ALOR GAJAH – Penduduk di sekitar Rumah Pangsa Tanjung Bidara Permai, di sini, gempar apabila beberapa buah motosikal di kawasan parkir kediaman mereka tiba-tiba terbakar, petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Kamarullizam Abdullah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.32 petang berhubung kebakaran itu.
“Sepasukan enam anggota dan sebuah jentera dari BBP Masjid Tanah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak bersebelahan Taman Bidara Permai.
“Sebaik tiba 10 minit kemudian mendapati benar berlaku kebakaran membabitkan enam buah motosikal pelbagai jenis,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.
Tambahnya, operasi pemadaman dijalankan sehingga api berjaya dikawal kurang seminit sebelum operasi ditamatkan sebaik mendapati tiada sebarang kemerbahayaan lain.
“Pihak forensik sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette