Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas menafikan beliau membuat kenyataan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi hari ini melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laporan sebuah portal mendakwa beliau mahu ahli-ahli parti menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim adalah tidak benar.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan seperti poster di bawah dan juga di laman blog MH Daily yang berlegar di alam maya pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Ahmad Zahid dilepas tanpa bebas daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga timbalan perdana menteri selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Portal berkenaan melaporkan Tuan Ibrahim menggesa  semua pihak menghormati keputusan mahkamah kerana hakim perbicaraan kes Ahmad Zahid sudah tentu mempunyai asasnya.

“Kita menghormati keputusan mahkamah. Setiap keputusan akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita namun negara ini ada sistem dan menjadi ikrar bersama untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Pas menggesa agar masyarakat perlu dididik menghormati keputusan mahkamah, dalam apa jua keputusan, jangan bila kita setuju kita sokong keputusan (mahkamah), bila kita tak setuju kita bantah.

“Hakim mempunyai asas dalam membuat sesuatu keputusan dan dia bertanggungjawab dunia akhirat dengan keputusannya,” lapor portal berkenaan.

Untuk rekod, Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018. – MalaysiaGazette