MELAKA – Kanser usus besar atau kolorektal menjadi cabaran baharu dunia kesihatan hari ini apabila menunjukkan peningkatan mendadak pasca Covid-19 selepas kanser payudara.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, (NCSM) Dr M Murallitharan berkata, ia mungkin didorong keadaan rakyat terpaksa duduk lebih lama di rumah sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara tiga tahun lalu.
“Walaupun kanser yang tertinggi dicatatkan adalah kanser payudara dalam kalangan wanita tetapi apa yang betul-betul merisaukan kira kini adalah kanser usus yang besar tiba-tiba naik begitu mendadak.
“Malah umur pesakit juga makin menurun berbanding 10 tahun dulu pesakitnya berusia 50-an tapi sekarang menurun kepada seawal 30-an atau 40-an,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran klip video ‘Saya Anak Malaysia’ yang dihasilkan oleh NCSM dan Etiqa bersama pencipta bersama lagu, dR Sam Rasputin (Salim Ibrahim) serta pemandiri kanser sempena Hari Malaysia di Bukit Katil di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah Shoo Chin.
Mengulas lanjut, Dr Murallitharan berkata, antara penyumbang kepada peningkatan pesakit kanser di negara ini adalah selepas Covid-19 kerana ramai yang tidak dapat membuat pengesanan awal kanser sejak tiga tahun lalu.
“Saya sendiri sebagai doktor pakar yang merawat sebelum ini mendapati kira-kira 90 peratus pesakit dikesan kanser mereka sama ada di stage satu atau dua.
“Tapi dalam tahun 2022 hingga kini sekitar 90 peratus pesakit yang saya jumpa semua sudah berada di tahap empat atau tiga yang berpunca apabila mereka tidak tak dapat ke hospital sewaktu awal negara dilanda Covid-19,” katanya.
Tambahnya dijangkakan, kesan daripada Covid-19 terhadap kesihatan rakyat dunia termasuk Malaysia akan dapat dilihat sehingga tempoh lima tahun lagi.
“Sebab itu, NCSM beriltizam untuk membuat lebih banyak saringan kanser di kawasan kampung dan terpencil sekali gus mewujudkan kesedaran kepada rakyat pentingnya pemeriksaan awal ini.
“Secara keseluruhannya kita telah buat saringan terhadap lebih 50,000 orang tahun ini termasuk 8,000 wanita dan memberi kesedaran kepada 30,000 wanita mengenai kanser payudara,” katanya. – MalaysiaGazette