Hattem Rashdi meninggal dunia selepas 12 jam bertarung nyawa susulan kemalangan di litar lumba ketika menyertai perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record di Pekan, Pahang pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 yang menyebabkan kematian seorang pelumba di litar Pekan, Pahang tidak mendapatkan kelulusan atau diiktiraf ‘sanctioned’ oleh pihaknya.

MAM dalam satu kenyataan turut berdukacita di atas berita pemergian Allahyarham Hattem Rashdi yang terlibat dalam insiden kemalangan sewaktu menyertai perlumbaan drag tersebut dan disahkan meninggal dunia, Isnin lalu.

“Pihak MAM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah. Untuk makluman semua, Acara Bike National ET Record Championship 2023 ini tidak diluluskan dan diiktiraf ‘sanctioned’ oleh pihak MAM.

“Seperti mana semua sedia maklum, sukan permotoran merupakan suatu sukan yang berbahaya. Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba berkewajipan untuk mematuhi segala peraturan mahupun protokal ketat yang telah ditetapkan.

“Peraturan itu dibuat demi memastikan tahap keselamatan tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut,” kata MAM dalam satu kenyataan hari ini.

MAM menjelaskan, perlumbaan yang diiktiraf ‘sanctioned events’ oleh MAM mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak Persekutuan Automobile Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan.

“Oleh yang demikian, penganjur-penganjur amat digalakkan untuk memastikan acara-acara mereka diluluskan dan dikawal-selia ‘sanctioned’ dengan bekerjasama dengan pihak MAM.

“Meskipun demikian, kelulusan dan kawal selia mana-mana acara adalah tertakluk kepada peraturan dan kaedah-kaedah pihak FIA, FIM serta peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR), yang dikenakan, dipantau dan harus dipatuhi tanpa kompromi.

“Pihak MAM ingin menegaskan, MAM tidak menyokong acara yang tidak diiktiraf di mana keselamatan pegawai, pelumba, penonton dan penganjur amat penting serta untuk memastikan setiap penganjuran dijalankan dengan mengikut aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan.

“Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan MAM telah mengadakan perbincangan bagi kemas kini pentadbiran dan undang-undang acara sukan permotoran dengan lebih teratur dan tersusun.

“Pihak MAM amat berharap agar semua pihak-pihak yang berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memastikan bahawa penganjuran yang tidak diiktiraf seperti ini dapat dihalang demi mengelakkan kejadian sedemikian berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast