Mohd Puad Zarkashi Najib dibebaskan pas kingmaker Muhyiddin wang RCI Tommy Puad Nazlan DAP takut sanusi the untold story Anwar UMNO
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan keikhlasan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapinya.

Menurut beliau, selama ini, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu tidak pernah bersimpati dengan kes Najib.

“Dia yang paksa Najib letak jawatan. Baru sekarang mengaku Najib ada nilai tambah?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam siaran podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahrin Hamdan kelmarin, Khairy berkata, pembebasan Najib membawa nilai lebih besar kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memberitahu, pembebasan Najib sekurang-kurangnya memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

Mohd Puad mendakwa, Khairy sebenarnya tidak suka Ahmad Zahid dan Najib dilepaskan.

Beliau berkata, Khairy silap jika menyangka nilai tambah menjadi alasan untuk membebaskan Najib.

“Ini bukan soal nilai tambah. Ini soal pendakwaan terpilih,” jelasnya.

Mohd Puad turut mengingatkan Khairy bahawa UMNO bangkit kerana konsensus dan istiqamah.

“Bukan kerana nilai tambah sahaja, populis dan keluar sekejap,” katanya.

Isnin lalu, selepas 77 hari dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi semua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Puad ni dah kemurungan…. orang punya pendapat pun dipersoalkan. Ada lagi orang UMNO yang KEKAL idea camni… akarumbi UMNO lagi CERDIK

Comments are closed.