celcomdigi
(Dari kiri) Tim Ha, Fahmi Fadzil dan Idham Nawawi pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dan VIRNECT di Korea Selatan, hari ini. -Gambar: Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara CelcomDigi dan syarikat pakar teknologi metaverse dari Korea Selatan, VIRNECT diyakini mampu meningkatkan penerimagunaan 5G dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengguna 5G di negara ini baru mencecah 4.2 peratus walaupun liputan telah mencecah 68.8 peratus.

“Insya-Allah di pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pula, kita akan pastikan liputan 5G mencecah 80 peratus pada penghujung 2023 untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau yang sedang mengadakan lawatan kerja di Korea Selatan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dan VIRNECT, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif VIRNECT, Tim Ha dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Berhad, Datuk Idham Nawawi.

Fahmi memberitahu, melalui adaptasi teknologi metaverse, penggunaan internet dalam kalangan pengguna, pemain industri, dan institusi pendidikan juga akan berubah.

“Sebagai contoh, penggunaan teknologi ini bakal mengubah kaedah pembelajaran di universiti kepada pembelajaran berasaskan pengalaman terutamanya dalam bidang kesihatan, kejuruteraan minyak dan gas, robotik, dan keselamatan siber,” jelasnya. – MalaysiaGazette