Fairuz Misran

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang pernah tular gara-gara mempunyai iras seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Fairuz Misran meninggal dunia hari ini.

Berita sedih itu dikongsi adiknya, Sazlieyanti Misran menerusi hantaran di Facebook.

“Innalillahiwainnahirojiun.. Menerima perkhabaran sedih bahawa abang yang disayangi Fairuz Misran telah kembali ke Rahmatullah baru sebentar tadi.

“Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Al fatihah buat Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah,” tulisnya di laman sosial itu.

Allahyarham, 38, adalah juara Bintang P Ramlee peringkat kebangsaan 2012.

Beliau memilik wajah seakan mirip P Ramlee terutama daripada segi gaya jambul rambut dan potongan kumis, selain susuk tubuhnya.

Pada pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik 34 pada 2019, Fairuz mencuri perhatian apabila menggalas tanggungjawab menggantikan tempat Faizal Tahir menyanyikan lagu Ragaman yang menjadi antara finalis Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Allahyarham dilahirkan di Sandakan, Sabah namun, menetap di Labuan.

Beliau juga pernah merakamkan lagu berjudul Indahnya Raya, ciptaan Harry Khalifah. – MalaysiaGazette