KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah dalam sektor awam mahupun swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk memulihkan imej negara pada peringkat antarabangsa dan mengangkat darjatnya menjadi negara bermaruah dan antirasuah.
“Kerajaan menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan (KSP) Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perdana Menteri, dua anjakan utama iaitu Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi dan Perundangan Berkaitan Rasuah akan dimulakan di bawah KSP RMK12.
“Selain daripada penambahbaikan aspek perundangan dan penguatkuasaan, kerajaan juga menekankan pengukuhan jati diri dan akhlak dalam diri setiap warga negara.
“Justeru, pentingnya pendidikan kesedaran antirasuah yang harus dikembangkan pada semua peringkat usia. Sementelahan, agenda mempromosi dan mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai murni demi membina sahsiah terpuji akan terus direkayasa,” katanya.