Empangan Renaissance Besar Ethiopia (GERD) di Sungai Nil di Wilayah Benishangul-Gumuz. Foto povonewstv

KAHERAH – Mesir menyuarakan kemarahan selepas Ethiopia mengumumkan ia telah memenuhkan takungan di empangan hidroelektrik yang sangat kontroversi di Sungai Nil Biru.

Ethiopia telah bertelagah dengan Mesir dan Sudan berhubung projek mega itu sejak dilancarkan pada 2011.

Ia kerana Mesir bergantung pada Sungai Nil untuk hampir semua keperluan airnya.

Kementerian Luar Mesir berkata, Ethiopia tidak menghiraukan kepentingan negara-negara hiliran.

Bagaimanapun Ethiopia berkata, empangan bernilai AS$4.2 bilion itu tidak akan mengurangkan bekalan air.

“Dengan berbesar hati saya mengumumkan kejayaan menyiapkan pengisian keempat dan terakhir Empangan Renaissance,” kata Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed di X.

Beliau mengakui projek itu telah menghadapi “halangan dalaman dan luaran” tetapi “kami mengharungi semua itu”.

Empangan itu mula menjana elektrik pada Februari 2022.

Ethiopia percaya Empangan Renaissance Besar Ethiopia (Gerd) akan menggandakan pengeluaran elektrik negara, memberikan rangsangan pembangunan yang penting kerana pada masa ini separuh daripada 127 juta penduduk kekurangan bekalan elektrik.

Rancangannya ntuk menjana lebih daripada 6,000 MW di empangan itu, iaitu kira-kira 30 kilometer dari sempadan Ethiopia dengan Sudan.

Mesir dan Sudan berhujah, peraturan umum untuk operasi Gerd mesti dipersetujui, bimbang Ethiopia yang ‘kelaparan’ tenaga boleh memburukkan lagi kekurangan air mereka yang sedia ada.

Rundingan mengenai projek itu disambung semula bulan lalu, setelah digantung pada 2021.

Sudan kini terperangkap dalam pertempuran antara tentera saingan – tidak segera bertindak balas terhadap pengumuman Perdana Menteri Abiy Ahmed pada hari Ahad.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Kementerian Luar Mesir berkata, pengisian takungan “sepihak” Ethiopia melanggar perisytiharan prinsip yang ditandatangani oleh ketiga-tiga negara itu pada 2015, dan melabelkan tindakan Ethiopia itu sebagai “haram”.

“Pengisytiharan prinsip menetapkan keperluan ketiga-tiga negara mencapai persetujuan mengenai peraturan untuk mengisi dan mengendalikan Gerd sebelum memulakan proses pengisian.Langkah-langkah unilateral Ethiopia dianggap sebagai mengabaikan kepentingan dan hak negara hiliran dan keselamatan air mereka, seperti yang dijamin oleh prinsip undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette