JAKARTA – Skuad Indonesia Bawah 17 (B-17) bakal diperkuatkan dengan seorang pemain naturalisasi Brazil menjelang kempen Piala Dunia B-17 selepas pemain Sao Paulo, Welber Jardim kini sah memiliki pasport Indonesia.
Berita itu disahkan oleh jurulatih skuad B-17 Indonesia, Bima Sakti di Instragram miliknya.
“Alhamdulillah, untuk Indonesia. Terima kasih pemerintah, PSSI, dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brazil,” katanya ringkas.
Welber merupakan anak kepada bekas awang import Brazil, Elisangelo Jardim de Jesus atau Jardim. Jardim pernah beraksi untuk dua kelab Indonesia, Persekaba Badung dan Persiba Balikpapan.
Sementara ibunya, Lielyana Halim pula merupakan warga Indonesia yang berasal dari Banjarmasin.
Dia sebelum ini sudah mengikut latihan pusat pasukan itu pada Ogos lalu.
Sementara itu, Bima turut memberitahu Welber bakal menyertai skuad B-17 untuk kem latihan pusat di Jerman pada 17 September ini.
Ketua Umum PSSI, Erick Thohir sebelum ini telah berikrar akan memastikan pemain itu dapat beraksi dalam Piala Dunia B-17 untuk Indonesia.
“Welberlieskott de Halim Jardim, diaspora muda Indonesia yang bermain di Sao Paolo, Brasil, akan bergabung dengan Timnas Indonesia U-17 dan berlaga di Piala Dunia U-17 2023. Selamat bergabung Garuda Muda!” katanya
Piala Dunia B-17 2023 bakal berlangsung di Indonesia dari 10 November hingga 2 Disember 2023. – Agensi