UMNO PH politik wang Najib rumah Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – UMNO disarankan bertanding dalam pilihan raya secara solo tanpa bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bagi mengembalikan keyakinan akar umbi terhadap parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, UMNO boleh kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Namun, menurut beliau, UMNO boleh bertanding dalam pilihan raya sebagai Barisan Nasional (BN).

“Dengan ini kita boleh menyumbang dalam hal ehwal dasar dalam kerajaan dan pada masa yang sama mengekalkan perjuangan asas dan mengembalikan akar umbi kita,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Isham memberitahu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kelmarin menyaksikan BN kehilangan kira-kira 27,000 undi Melayu.

Selain itu, UMNO dan BN menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu bulan lalu dipercayai akibat penolakan orang Melayu dan akar umbi parti.

Sebahagian besar ahli dan penyokong UMNO dikatakan masih belum dapat menerima kerjasama politik yang dijalinkan antara parti itu dan PH terutamanya DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Isham berkata, walaupun UMNO pernah menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu, parti itu tidak bersama PN dalam pilihan raya.

Beliau menambah, mungkin pada peringkat awal, UMNO tidak akan berjaya dalam pilihan raya kecil apabila bertanding secara solo.

Walau bagaimanapun, Isham berpandangan, sekurang-kurangnya masih ada harapan untuk memulihkan UMNO daripada terus menjadi abu apabila akar umbi kembali bersama parti.

“Selepas kita kalah PRU14 dahulu pun pada awalnya kita tidak menang PRK DUN Balakong dan DUN Sungai Kandis.

“Namun selepas itu kita telah bangkit dan tambahan lagi dengan fenomena Bossku kita telah berjaya memenangi pilihan raya sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” jelasnya. – MalaysiaGazette