Muhammad Shafee

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya merenung kembali terhadap segala keputusan yang dibuat olehnya  ketika beliau menyandang jawatan sebagai Peguam Negara.

Ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membebaskan bekas Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berhubung tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1MDB.

Peguam yang mewakili kedua mereka, Tan Sri Mohd Shafee Abdullah bertegas, Tommy seharusnya bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan yang dibuat sebelum ini.

“Secara ringkasnya, tiada sebarang salahlaku/penyalahgunaan kuasa dari pihak anakguam kami langsung dalam perkara ini.

“Tambahan pula, pendedahan sewaktu perbicaraan menyatakan bahawa bekas Ketua Peguam Negara/Pendakwa Raya iaitu Tan Sri Tommy Thomas, telah secara pramatang mendakwa anakguam kami sebelum siasatan dimuktamadkan dan perkara ini telah secara dasarnya menjejaskan integriti pertuduhan yang dikenakan ke atas anakguam kami.

“Jelas sekali Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya harus merenung kembali ke atas segala keputusan yang dibuat olehnya pada ketika beliau menyandang jawatan sebagai Peguam Negara kerana kini, beliau seharusnya bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan dua notis rayuan pendakwaan berhubung kes tersebut selepas mendapati ia lewat lebih daripada dua bulan dan dianggap luput dan terbatal.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak permohonan pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuan berkenaan di luar tempoh masa.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan berkenaan adalah pada 6 Julai lalu, iaitu dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 26 Jun.

“Kami sesungguhnya berterima kasih kepada semua pihak yang sejak dari awal sehingga kini masih tidak berputus-asa untuk memperjuangkan kebenaran serta menegakkan keadilan.

“Kami seikhlas hati berharap agar keputusan ini akan membenarkan Datuk Seri Najib dan Encik Arul Kanda meneruskan kehidupan mereka bebas daripada sebarang pertuduhan-pertuduhan yang tidak berasas,” kata Mohd Shafee.

Katanya, dalam kes tersebut pihak Pendakwaan tidak mempunyai sebarang alasan yang kukuh untuk meneruskan dengan rayuan tersebut maka oleh sebab itu, Petisyen Rayuan tidak difailkan.

Perkara tersebut menunjukkan, apabila Pendakwaan tidak meneruskan rayuan maka keputusan yang diberikan oleh hakim adalah teguh dan tidak boleh disangsi.

“Memandangkan terdapat bukti-bukti kukuh yang telah dikemukakan semasa perbicaraan dalam Mahkamah, sememangnya sebarang pertuduhan tidak sepatutnya dikenakan ke atas anakguam kami sejak dari mula lagi.

“Keputusan untuk mendakwa anakguam kami tersebut telah menimbulkan pelbagai kesulitan dan kesukaran kepada anakguam kami selama tempoh 5 tahun ini – apatah lagi sekiranya rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya tersebut diteruskan,” katanya.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, pada 3 Mac lalu membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.