LANCHANG – Seramai 100 orang warga kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) komited menjalankan aktiviti penanaman pokok bagi memperkayakan kurungan Harimau Malaya di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) pada hari ini.
Kira-kira 100 pokok pelbagai jenis ditanam di MTCC ditanam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi ‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’.
Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik projek ECRL, dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), sebagai kontraktor utama projek ECRL, telah memberi sumbangan dalam menjayakan program ini.
Program yang julung kali diadakan ini melibatkan tiga fasa, iaitu merangkumi rawatan tanah, pengkapuran dan pembajaan manakala fasa kedua membabitkan penanaman pokok renek, pokok teduhan dan pokok buah-buahan.
Fasa ketiga bertumpu kepada penjagaan, pemangkasan dan pembajaan pokok-pokok di kurungan MTCC.
Program ini dijangka membantu melengkapkan perancangan jangka panjang Perhilitan dan MTCC dalam melindungi populasi Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) dan usaha pembiakan spesies hidupan liar ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berharap sumbangan yang diberikan menerusi ‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’ dapat membantu dalam mengukuhkan habitat yang sesuai, menjamin ketersediaan makanan serta meningkatkan kadar pembiakan Harimau Malaya,” katanya pada majlis perasmian.
Katanya, projek ECRL optimis meneruskan langkah-langkah proaktif bagi membantu usaha kerajaaan memacu konservasi Harimau Malaya ke tahap seterusnya, yang turut meliputi peningkatan populasi haiwan itu yang kini dianggarkan berjumlah sekitar 150 ekor sahaja di dalam hutan Malaysia.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berharap semua pihak meningkatkan amalan kelestarian dan memperbanyakkan usaha dalam memulihara biodiversiti yang tidak ternilai.
Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi, berkata, pembinaan jajaran ECRL yang sepanjang 665 kilometer menitikberatkan aspek perlindungan alam sekitar, hutan dan hidupan liar.
Satu perjanjian tambahan pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (Wildlife Management Plan) bagi Projek ECRL telah dimeterai antara CCC-ECRL dan Perhilitan pada tahun 2022 bagi menambah baik kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang jajaran rel.
Bagi mengurangkan kesan alam sekitar daripada proses pembinaan ke atas hutan semulajadi, sungai dan sumber air, rekabentuk jajaran ECRL turut merangkumi pembinaan 40 buah terowong, kira-kira 145 km laluan bertingkat serta 27 lintasan hidupan liar di lokasi strategik.
Pasukan projek ECRL bersama Perhilitan melakukan tinjauan hidupan liar dan memasang perangkap kamera di sepanjang jajaran rel untuk mengenalpasti populasi hidupan liar. – MalaysiaGazette