KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini – Tren Aliran Transit Ringan Kelana Jaya telah memperkenalkan gerabak khas yang telah dihiasi dan diwarnai tema Cerita Malaysiaku!
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, tren itu dibalut khas dan dihiasi dengan Cerita Malaysiaku itu dengan elemen kepelbagaian budaya bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.
“Hari Malaysia dengan tema Segulai Sejalai (berjalan seiring) yang akan disambut di Kuching, Sarawak kali ini dibalut khas di badan gerabak tren khas ini dengan diperagakan pelbagai fakta, maklumat dan juga hiasan itu bukan sahaja menarik tapi banyak pengisian dari segi simbol penting negara kita seperti bunga kebangsaan, Harimau Malaya, persembahan tradisional, permainan tradisional dan juga tempat dan makanan menarik.
“Saya amat mengalu-alukan inisiatif ini kerana ia merupakan selari dan selaras dengan usaha kita dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dan Hari Malaysia ke-60.
“Saya harap di masa depan kita dapat hias lebih banyak gerabak-gerabak tren membabitkan LRT, MRT dan lain-lain untuk menyemarakkan lagi rasa kasih dan sayang kita kepada negara,” katanya selepas melancarkan tren khas itu di Stesen LRT KLCC hari ini.
Fahmi juga mengalu-alukan usaha dari pihak swasta supaya bersama-sama berganding bahu dengan badan peneraju pengangkutan seperti Prasarana Negara untuk tujuan tersebut.
“Ini kerana saya percaya sinergi seperti ini sangat diperlukan untuk masa depan negara kita bagi menyemarakkan lagi semangat dan rasa cinta terhadap negara.
“Ia juga dilihat salah satu kaedah untuk menyampaikan mesej semangat cinta negara kepada rakyat kita dan inisiatif itu wajar diteruskan pada masa-masa akan datang dengan lebih banyak dan awal sambutan lagi,” katanya.- MalaysiaGazette