Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan polis mengejar sebuah kereta yang mencurigakan akhirnya berjaya membawa kepada tangkapan tiga suspek termasuk warga asing bersama sejumlah bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao berkata, pada pukul 12.03 tengah malam tadi semasa anggota unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang terlibat dalam rondaan di kawasan Puchong terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam keadaan yang mencurigakan .

“Unit peronda kemudian memberikan arahan isyarat lampu mata ke arah kereta itu untuk memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

“Namun kenderaan itu tanpa mempedulikan arahan polis terus memecut laju dari Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Tol Sunway,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Vijaya, berlaku insiden mengejar pemandu tersebut di Lebuhraya Persekutuan sehingga ke Jalan Meru, Klang melibatkan tiga kereta peronda iaitu masing-masing satu dari IPD Serdang dan dua lagi dari IPD Klang Utara.

Semasa berada di Jalan Batu 1, Jalan Meru, Klang, kereta Viva yang dipandu suspek hilang kawalan dan terbabas serta melanggar pembahagi jalan sebelum anggota polis menahannya sekitar 12.45 pagi.

“Polis berjaya menahan satu lelaki tempatan berumur 44 tahun, dan dua wanita warga asing yang masing-masing berumur 25 dan 35 tahun.

“Polis merampas satu beg sandang yang mengandungi tiga peket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat enam gram, tiga peket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin (3.40 gram), lima peket plastik berwarna ungu di mana dua peket bertulis Lamborghini dan tiga peket bertulis Versace (54.10 gram) disyaki dadah jenis serbuk ekstasi,” katanya lagi.

Semakan lanjut mendapati suspek lelaki itu bekerja sebagai pemandu peribadi dan mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah manakala dua wanita warga asing itu tidak bekerja serta tidak mempunyai rekod lampau.

Namun kesemua tiga suspek itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin selepas dilibatkan dalam ujian saringan air kencing.

“Kesemua mereka kita ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 18 September ini. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan jika disabitkan kesalahannya.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 5 tahun dan maksimum sembilan sebatan,” katanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun dan sebat maksimum 9 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.- MalaysiaGazette