KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerima 10 trak hi-lift baharu lebih awal daripada jadual yang akan membantunya memulihkan perkhidmatan sajian makanan panas di atas pesawat yang terjejas oleh peralihan kontrak katering syarikat penerbangan itu baru-baru ini.
MAB dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketibaan 10 lagi trak hi-lift dalam beberapa bulan akan datang, beserta dengan langkah-langkah proaktif yang diambil untuk meningkatkan dan memperhalusi komponen hidangan pra-pembungkusannya dalam tempoh sementara ini, akan memulihkan sepenuhnya perkhidmatan sajian penuhnya menjelang pertengahan November tahun ini.
“Sejak 11 September 2023, MAB telah memperkenalkan semula sajian makanan panas ringkas untuk penumpang kelas perniagaan di laluan Bangkok dan Denpasar.
“Mulai hari ini, penumpang kelas ekonomi yang pergi ke Bangkok dan Denpasar, serta penumpang semua kelas kabin dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Kuching, Manila dan Hong Kong, juga akan dihidangkan sajian makanan panas,” katanya.
Sementara itu, syarikat penerbangan itu berkata, penumpang kelas perniagaan yang menuju ke semua sektor Asia Selatan juga akan menikmati sate Malaysia Airlines yang terkenal, manakala bandar raya ASEAN lain akan dihidangkan makanan panas secara berperingkat.
“Penumpang yang menuju ke destinasi Asia Selatan, Asia Utara dan Australia yang lain akan terus menerima hidangan panas yang ringkas di atas pesawat,” katanya.
MAB berkata, trak hi-lift merupakan bahagian penting dalam keseluruhan proses makanan dalam penerbangan untuk menjaga kualiti makanan dan piawaian keselamatan dengan suhu yang betul, memelihara kesegaran makanan panas dan makanan biasa, sambil mengekalkan amalan dengan kawalan ketat sepanjang proses.
“Dengan ketiadaan trak hi-lift, MAB menangguhkan sementara penyediaan makanan panas untuk memastikan keselamatan makanan tidak terjejas,” katanya.
Pada 1 September 2023, MAB memperkenalkan sajian makanan dalam penerbangan yang disesuaikan semula di laluan yang sebelum ini disediakan oleh bekas penyedia kateringnya termasuk kacang tanah dan minuman khasnya, makanan dan minuman ringan dalam bekas pakai buang.
“Perkhidmatan di laluan London, Auckland, Jeddah, Madinah, Osaka dan Haneda kekal tidak terjejas,” katanya.
MAB berkata, telah menubuhkan pusat pengedaran sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menguruskan pengumpulan barangan makanan dan minuman oleh pembekal masing-masing dan mengangkat kotak makanan di atas pesawat melalui trak hi-lift.
Menurutnys, operasi pusat pengedaran itu mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan bagi kebersihan, dan persekitaran yang memenuhi piawaian keselamatan dan kebersihan makanan.
Secara ringkas, kontrak katering yang telah lama terjalin antara MAB dan Brahim’s Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos 2023, selepas rundingan antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak mencapai kata putus.
“BFS pada awal Jun 2023, menyampaikan notis pemberhentian perkhidmatan kepada MAB berkuat kuasa 1 Julai 2023, sementara perbincangan masih diteruskan untuk kontrak baharu.
“BFS kemudiannya menarik balik notis itu dan bersetuju untuk melanjutkan perkhidmatan sehingga 31 Ogos 2023,” kata MAB. – Bernama