Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor berasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab beberapa pihak tertentu yang menggunakan pelbagai cara atas nama agama untuk meraih sokongan rakyat.

Exco Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, lebih malang apabila mereka menggunakan agama untuk mewujudkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat kemasyhuran dan kuasa.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat berbilang ras dan agama, agar sama-sama menjunjung titah Sultan Selangor.

“Marilah bersama menghindari perbuatan dan budaya bersangka buruk, menyebarkan berita tidak tepat, menfitnah, mencela, dan menghukum sewenangnya.

“Apa juga perbezaan pandangan akan memberi nilai tambah kepada kemakmuran negeri dan negara, bukannya menjadi punca perbalahan, perpecahan dan kerosakan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan semua pihak terutama pemimpin politik segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) bertitah, tindakan segelintir pemimpin politik mengeluarkan fatwa amat berbahaya dan boleh memecahbelahkan rakyat.

Sultan Selangor juga tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

Sultan Selangor menitahkan semua pihak tidak memperalatkan agama bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi juga berkata, masyarakat perlu menerima pakai kontrak sosial yang dimeterai di dalam Perlembagaan Persekutuan agar perpaduan masyarakat terus menjadi pemacu utama kejayaan hebat negara.

“Kepelbagaian agama, kepercayaan, adat, budaya dan latar belakang yang menjadi asas kekuatan negara sepatutnya diraikan dan bukannya dieksploitasi untuk dirobek, diracik dan dihancurkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast