Datuk Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas perlu diraikan semua pihak termasuk pemimpin kerajaan.

Malah, pelantikan bekas perdana menteri itu tidak sepatutnya dikecam atau dikaitkan dengan perseteruan politik negara yang tidak berkesudahan, kata Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, Dr Mahathir yang merupakan tokoh dikenali seantero dunia sewajarnya diberikan tempat untuk memberi nasihat dan pandangan kerana beliau mempunyai pengalaman bukan sahaja dalam membentuk atau merangka polisi ekonomi negeri yang ampuh, tetapi juga dalam menganalisis senario politik dunia yang semakin kompleks.

“Pada hemat saya, ini merupakan langkah yang amat tepat kerana sehingga kini Tun Mahathir masih lagi berpengaruh di peringkat antarabangsa, yang mana beliau masih lagi mempunyai hubungan erat bukan sahaja dengan negeri-negeri maju di Asia tetapi juga dengan negara-negara Eropah, Arab, Afrika dan juga Amerika Latin.

“Sudah pasti dengan meletakkan Tun Mahathir sebagai penasihat akan mengeratkan hubungan bilateral antara keempat-empat negeri ini dengan dunia luar sekaligus berupaya untuk menarik pelaburan langsung asing (foreign direct investment), pertukaran teknologi dan meningkatkan aktiviti perdagangan dua hala, yang akan menguntungkan keempat-empat negeri tersebut dan secara tidak langsung juga membantu kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Dengan keadaan ekonomi dunia yang menunjukkan pertumbuhan agak malap, setiap negeri di Malaysia perlu berupaya untuk meningkatkan daya saing mereka, khususnya dalam konteks bagi melebarkan keupayaan mereka untuk bekerjasama dengan negara dan entiti perniagaan asing bagi memperkukuh ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk ‘kumpulan empat negeri’ dengan Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi.

Usaha itu untuk fokus kepada pembangunan ekonomi masing-masing dan memelihara kebajikan rakyat.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil memberi pandangan berhubung pelantikan Dr Mahathir oleh empat negeri berkenaan.

Dalam pada itu Zuraida turut menyelar pandangan negatif yang diberikan beberapa pemimpin kerajaan berhubung pelantikan berkenaan apabila mengaitkannya dengan isu politik.

Katanya, negara sudahpun melalui pilihan raya umum dan piliha nraya negeri yang mana pemimpin-pemimpin persekutuan dan negeri telahpun diberikan mandat oleh rakyat.

“Seharusnya kita sebagai sebuah negara tidak harus lagi membincangkan isu-isu politik picisan dan pada ketika ini wajar memberikan fokus yang tidak berbelah bagi hanya kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast