Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bersama timbalannya, Teo Nie Ching hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mencadangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mewujudkan program ‘Fitnah Apa Hari Ini’ dalam slot berita stesennya.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, program itu  bagi menangkis fitnah dan tohmahan tertentu.

“Ada cadangan untuk slot dalam Berita RTM, program (berjudul) Fitnah Apa Hari Ini, jadi ini satu cadangan.

“Kita (KKD) akan bincang nanti. Kita perlu teliti perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fahmi berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat.

Jawapan itu berdasarkan usul Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang mencadangkan agar kerajaan KKD mewujudkan satu saluran khas yang menangkis berita fitnah dan palsu yang diterima rakyat melalui aplikasi tertentu.

“Kalau boleh orang kampung yang biasa dengar berita dan sebagainya, saya nak cadangkan siaran semak berita firnah supaya cerita fitnah dalam aplikasi tertentu boleh dirujuk dalam satu saluran sahaja,” cadang beliau. – MalaysiaGazette