Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu memberi penjelasan mengapa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikenakan dua pendakwaan terhadap kes yang melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada terdapat muslihat terhadap bekas perdana menteri itu hingga dikenakan dua pertuduhan bagi kes yang sama.

“Ramai tidak tahu Najib ada dua kes melibatkan SRC. Pertama kes SRC RM42 Juta. Kes ini punca Najib dipenjarakan.

“Satu lagi ialah kes SRC RM27 juta. Kenapa ada dua kes berbeza dari isu yang sama? Apatah lagi saksi saksi semua orang yang sama?

“Perbicaraan kes SRC RM27 Juta belum dimulakan lagi. Apa muslihat Tommy Thomas ketika itu? Adakah kes RM42 juta diasingkan agar Najib cepat masuk penjara? Semoga ada penjelasan dari AGC,” katanya.

Ketika ini Najib sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat tersebut.

Sementara bagi kes melibatkan RM27 juta wang SRC, Najib telah menghantar surat representasi kepada AGC untuk menggugurkan tiga pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat itu.

Pada 3 Februari 2019 Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Sementara itu Mohd. Puad turut mendesak ACG memberikan penjelasan berhubung kes Najib melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang tertangguh selama lima tahun.

“Selain kes IPIC, ini satu lagi contoh kes tertangguh lima tahun tanpa bicara. Apakah ini melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan? Laluan keadilan untuk Najib berliku liku. Tapi Perikatan Nasional dan Tun M diam je,” kata Mohd. Puad.

Mahkamah Tinggi pada 15 September lalu menetapkan perbicaraan kes pecah amanah (CBT) dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) membabitkan Najib dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bermula 4 Jun tahun depan.

Najib dan Mohd. Irwan Serigar dikenakan pertuduhan itu pada 25 Oktober 2018 ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.-MalaysiaGazette