KUALA LUMPUR – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari enggan menyalahkan pemainnya selepas tumpas 1-0 di tangan Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, kesilapan dalam bola sepak sebahagian daripada permainan malah mengakui penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah memberi yang terbaik dalam perlawanan itu.
Syihan dikritik peminat kerana dia tersilap percaturan apabila membiarkan gawang terbuka luas yang membolehkan Marcinho menjaringkan gol tunggal pada minit akhir babak pertama.
“Sepatutnya kami mendapat sepakan penalti selepas Arif (Aiman Hanapi) dijatuhkan dalam kotak penalti tapi pengadil meneruskan permainan dan saya anggap tiada rezeki untuk kami.
“Apa pun pada babak kedua, kami berjaya membuatkan lawan sesak nafas selepas memberi tekanan dengan asakan bertali arus namun hanya penyudah terakhir yang gagal ditemui,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.
Mengenai Arif Aiman yang menonjol dalam perlawanan itu, bekas penolong jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu menyifatkan pemain muda JDT itu sudah memberi yang terbaik tetapi apakan daya beberapa percubaan berbahaya yang dilakukan gagal menemui sasaran.
“Arif beraksi cemerlang dan saya bangga dengan apa yang dipamerkan, mungkin nasib tidak menyebelahinya selepas beberapa percubaan berbahaya diselamatkan penjaga gol lawan dan saya akui agak kecewa dengan kekalahan,” katanya. – MalaysiaGazette