Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki telah menyalahguna kuasa.

Warga tempatan itu didakwa menggunakan kedudukannya melantik sebuah syarikat bagi tujuan mengubahsuai gudang dan bekalan perabot bernilai RM1.9 juta sedangkan pembekalan dan pengubahsuaian itu tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi  ditetapkan.

Sumber memberitahu wanita berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang semalam.

“Suspek dipercayai menggunakan nama sebuah syarikat lain sedangkan kontraktor sebenar adalah syarikat milik suspek itu sendiri.

“Hasil siasatan yang dilakukan SPRM juga mendapati suspek tidak membekalkan perabot dan pengubahsuaian gudang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam kontrak.

“Selain itu, sejumlah wang kira-kira RM300,000 dikesan dimasukkan ke dalam akaun suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan wanita itu.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Suspek bagaimanapun sudah dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selepas keterangannya direkodkan. – MalaysiaGazette