KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) memulakan aksi pertama Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) dengan langkah kanan, selepas menewaskan Central Coast Mariners 1-0, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), TFC bermula garang dengan melancarkan serangan seawal minit kedua, disusuli sepakan percuma pada minit ke-11 yang tersasar ke kanan gawang.

Pasukan tuan rumah yang diketuai Habib Haroon sekali lagi beroleh peluang mencetak gol pertama pada minit ke-15, namun tendangan Ivan Mamut jauh tersasar melepasi palang sekali gus mengecewakan lebih 5,000 penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun pada masa kecederaan babak pertama, TFC berjaya memperoleh gol pertama berpunca daripada kesilapan pertahanan Mariners, Nathan Paull yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Bersambung babak kedua, TFC yang tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan ke atas kubu pelawat hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-47, namun rembatan deras Sony Norde dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol pelawat Daniel Vukovic, yang juga kapten pasukan.

Baki perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencipta jaringan untuk menjadikan kekal TFC mendahului Mariners 1-0.

Dalam perlawanan kumpulan sama, Bali United bermula dengan baik apabila menundukkan Stallion Laguna FC daripada Filipina 5-2 di Stadium Bolasepak Binan, Laguna, Filipina.

Penyerang dari Montenegro Ilija Spasojević, membuka tirai jaringan buat Bali United pada minit ke-27 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan, menerusi Junior Ngong Sam tiga minit kemudian.

Jaringan kedua Bali United disudah pertahanan skuad Haudi Abdillah pada minit ke-33 sebelum Mohammed Bassim dan Muhammad Syamsuddin Rachmat, meletakkan pasukan pelawat pada kedudukan selesa dengan jaringan ketiga dan keempat, masing-masing pada minit ke-53 dan 69.

Spasojević kemudian sekali lagi muncul sebagai wira pasukan, apabila meledak jaringan kelima pada minit ke-72, sebelum pasukan tuan rumah menambah gol menerusi jaringan Abraham Placito pada minit ke-88 dan kedudukan 5-2 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Bali United kini mendahului Kumpulan G, berkongsi tiga mata TFC yang menghuni tangga kedua namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan manakala Central Coast Mariners dan Stallion Laguna FC masing-masing menduduki tempat ketiga dan terakhir tanpa sebarang mata. – Bernama