Lokasi kejadian mayat lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning di sini, Sabtu lalu.

ALOR GAJAH – “Pembunuhan Darvn ini sangat kejam, tidak boleh diterima akal dan sebagai ibu, saya akan tuntut keadilan terhadap kematian anak sulung ini.

“Sejak dia hilang 11 hari lalu saya sentiasa mendoakan keajaiban, namun terpaksa terima hakikat apabila semalam polis mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) adalah sepadan dan itu adalah anak saya,”

Itu nada hiba diluahkan K. Vathma, 55, ketika dihubungi MalaysiaGazette mengenai kematian anak sulungnya, R. Darvnrajh, 24, atau mesrta disapa Darvn yang dibunuh dengan kejam, selepas mayatnya ditemui 16 September lalu.

Mayat Darvnrajh ditemui berulat dan hampir reput dengan 18 kesan tikaman di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning.

Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia 99.99 peratus sepadan dengan sampel ibu bapa mangsa.

Pada 14 September lalu, media melaporkan polis sedang mengesan Darvnrajh yang hilang dan tidak pulang ke rumah sejak 10 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman dilaporkan berkata, kali terakhir mangsa dilihat bersama rakan-rakannya sekitar awal pagi 10 September lalu.

Keluarga mangsa membuat laporan polis pada 11 September lalu. – MalaysiaGazette.