Fadhlina merasmikan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual di Insititusi Pendidikan yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual bagi menangani masalah tersebut secara proaktif dalam Insititusi Pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan garis panduan itu akan diperincikan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan pihaknya ke insitusi di bawah KPM.

Kata beliau, panduan itu adalah untuk memelihara maruah manusia dan penindasan terhadap maruah ini tidak boleh berlaku dalam ekosistem sekolah kita.

Fadhlina.

“Tumpuan yang diterapkan dalam garis panduan itu membabitkan aspek Karamah Insaniah dalam tujuh teras utama KPM iaitu penekanan pembentukan adab, akhlak dan integriti.

“Sebab itu saya sebutkan juga bahawa tiga ‘dosa besar’ di peringkat KPM iaitu buli, gangguan seksual dan perkauman tidak akan sama sekali kita kompromi.

“Garis panduan itu akan dilaksanakan di kesemua institusi KPM termasuklah sekolah, kolej matrikulasi, kolej tingkatan enam dan institut pendidikan guru (IPG),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual di Insititusi Pendidikan yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan.

Tambah Fadhlina, pihaknya juga akan melaksanakan program-program merentas agama, kaum dan kepelbagaian bagi memastikan advokasi hentikan buli ini berlaku di semua sekolah. – MalaysiaGazette