KEPALA BATAS – Selepas lapan hari bertarung nyawa akibat terjatuh dari ketinggian 4.58 meter ketika menukar siling dewan sebuah institut kemahiran di sini, seorang pekerja sub-kontraktor dilaporkan meninggal dunia pada Rabu lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa mangsa berusia 48 tahun itu pada 12 September lalu sebelum sepasukan pegawai penyiasat diarahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan
Katanya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 48 tahun terjatuh dari ketinggian 4.58 meter pada jam 5 petang, 12 September lalu.
jelasnya, siasatan awal mendapati, lelaki tempatan itu merupakan pekerja sub-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan di institut tersebut.
“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua orang pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja menukar siling berhadapan pentas di dewan institut itu.
“Selepas terjatuh, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan. Bagaimanapun, selepas lapan hari menerima rawatan di hospital, mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.
Tambahnya, susulan kejadian itu, satu notis larangan dikeluarkan dan bagi aktiviti bekerja di tempat tinggi sehingga langkah-langkah sewajarnya dijalankan oleh pihak berkaitan.
“Kita juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Malah, majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya. – MalaysiaGazette