Faiz Fadzil (kiri) melawat Kompleks LKIM Nenasi dan Kompleks LKIM Kuantan yang memerlukan pembaikan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memantapkan lagi industri akuakultur di negara ini bagi memastikan bekalan ikan dan udang mencukupi untuk keperluan rakyat.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, usaha itu juga selaras dengan agenda pertanian yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Justeru, katanya, kini Taman Akuakultur Badung yang dimiliki LKIM dan diusahakan syarikat Kembang Subur telah menternak udang putih (vannamei) melibatkan 58 kolam.

“Kerjasama antara LKIM, pemain swasta dan persatuan nelayan akan dimantapkan lagi bagi mencapai pelan stratgeik pembanharuan industri perikanan negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, kata beliau, usaha memacu keupayaan aktiviti tangkapan ikan bagi meningkatkan pendapatan nelayan dan menambah hasil laut di dua LKIM iaitu Nenasi dan Kuantan akan dilakukan beberapa penambahbaikan.

Jelasnya, antara penambahbaikan ialah bilik ais ketulan (ais flake) berkapasiti 10 tan di LKIM Nenasi dan bilik sejuk berkapasiti 50 tan di LKIM Kuantan bagi tujuan simpanan stok.

Selain itu, Faiz turut menyerahkan satu unit motosikal kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Rompin, Pahang sebagai projek pasar nelayan portable.

Ini katanya, bagi memantapkan lagi program pasar nelayan yang berkonsepkan dari nelayan terus ke dapur dengan harga berpatutan kerana tiada lagi peranan orang tengah, sekali gus memendekkan rantaian bekalan.

Faiz meninjau projek Akuakultur Badung milik LKIM yang menternak udang putih.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyantuni 70 nelayan Rompin di Kompleks LKIM Kuala Rompin dengan menyerahkan sumbangan pukat dan tong ikan berinsulasi serta bakul makanan dengan peruntukan RM94,100.

“Sebanyak dua enjin bot disumbangkan kepada dua nelayan daif yang mana enjinnya telah rosak bagi membantu meneruskan aktiviti perikanan.

“Pemberian ini bagi mendorong nelayan untuk lebih aktif meningkatkan hasil tangkapan ikan untuk memastikan bekalan mencukupi dan terjamin kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette