Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR РSeorang penghantar makanan ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat memukul kereta seorang pengurus syarikat menggunakan topi keledar di Jalan Lingkaran Tengah 2  (MRR2) dekat Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku pada Rabu lalu lebih kurang pukul 2.03 petang semasa pengadu seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun sedang memandu.

Semasa kejadian tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki suspek seorang lelaki dan anaknya yang menjadi pembonceng telah mengarahkan pengadu memberhentikan kenderaan dengan cara menunjukkan isyarat tangan dan menghalang laluan.

“Penunggang motosikal juga telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan bertindak memukul pintu kenderaan sebelah penumpang bahagian hadapan dengan menggunakan topi keledar.

“Siasatan polis mendapati, punca kejadian dipercayai suspek mendakwa pengadu telah menghimpit motosikalnya semasa laluan keluar dari simpang ke jalan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, bertindak atas laporan pada 21 September lalu polis  telah mengesan dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang disyaki terlibat.

Menurutnya, suspek yang berkerja sebagai penghantar makanan itu telah ditahan di kawasan Ukay Perdana.

“Polis juga melakukan pemeriksaan lanjut ke atas suspek dan merampas sebuah motosikal dan topi keledar yang dipercayai digunakan semasa kejadian itu.

“Semakan polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing yang dijalankan ke atas tangkapan negatif.

“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi dan dibenarkan untuk reman selama empat hari bermula semalam hingga 24 September ini,” katanya lagi.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan mendatangkan khianat dan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu dengan mendatangkan ugutan ketakutan kepada pengadu dan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” ujarnya.- MalaysiaGazette