Fadhlina Sidek.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersedia mendepani bencana banjir di seluruh negara khususnya menjelang musim tengkujuh.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan bekerjasama dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana banjir.

Jelas beliau, pihaknya juga sentiasa memberi sokongan dan dukungan dalam konteks keperluan untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir (PPS).

“Kita sentiasa bersedia sebab ini adalah tanggungjawab dan rutin kita. Malah, kerjasama dengan NADMA antara persediaan terbesar yang biasa kita buat menuju ke musim tengkujuh serta persiapan lain berkaitan dengan bencana banjir khususnya.

“Sekiranya ada apa-apa isu (berlaku banjir), kita telah menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat bantuan banjir, PPS kita yang memang telah bersedia khususnya sekolah-sekolah kita,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal di sini, hari ini.

Kata beliau, peluncuran pusat multidimensi itu bukan saja menoktahkan agenda kemiskinan malah ia juga penting bagi rakan di sektor korporat untuk memberi sokongan dan membina ekosistem negara dengan lebih baik.

“Hari ni dapat saksikan bahawa dengan penglibatan penuh korporat ini, satu kelas dan ruang pembelajaran untuk menangani isu kemiskinan pembelajaran telah diselesaikan hari ini.

“Begitu juga dengan kemiskinan terkait rapat dengan nutrisi telahpun dibangunkan dengan penyediaan makanan dan keperluan susu bagi memastikan pembinaan sahsiah anak-anak dapat dibangunkan.

“Terima kasih kepada Farm Fresh dan saya jemput rakan-rakan sektor korporat lain untuk bersama KPM bagi menjayakan program yang memberi manfaat kepada sekolah dan komuniti,” katanya.

Pusat Multidimensi itu adalah pusat kedua yang dibuka selepas projek rintis dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Projek tersebut merupakan Program Tanggunjawab Sosial (CSR) sebuah syarikat pengeluar tenusu terkemuka yang memberi manafaat kepada 500 murid terpilih untuk mendapat kelas tuisyen, makanan menu sihat dan susu percuma selama setahun dengan nilai tajaan hampir RM2 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast