Mayat seorang wanita berpakaian lengkap tanpa identiti itu ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 pagi tadi dalam keadaan sebahagian badan tertimbus di dalam pasir.

MELAKA – Suasana tenang di pantai pelancongan terkenal, Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, tiba-tiba dikejutkan dengan penemuan sekujur mayat seorang wanita di pesisir pantai itu pagi tadi.

Mayat berpakaian lengkap tanpa identiti itu ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 pagi tadi dalam keadaan sebahagian badan tertimbus di dalam pasir.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (D10) dan pegawai penyiasat dikejarkan ke lokasi sejurus mendapat maklumat awam.

“Pemeriksaan lanjut terhadap tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan mahu pun unsur jenayah.

“Kita sedang mengenal pasti identiti si mati melalui cap jari, namun kita percaya mangsa merupakan wanita warga tempatan berusia 20-an berdasarkan tanda suntikan BCG,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kita minta mana-mana individu yang melihat kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Polis akan mengeluarkan kenyataan media jika terdapat sebarang perkembangan lain,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast