PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 4 November ini sebagai tarikh pengundian bagi kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jepak di Sarawak.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, pihaknya juga menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari pengundian awal, manakala 21 Oktober sebagai hari penamaan calon.
“Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 21 Oktober 2023 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 3 November 2023 (Jumaat),” katanya pada sidang media di Menara SPR, di sini, hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu akibat akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak.
Mesyuarat itu diadakan susulan SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak.
Menurut Azmi, PRK Jepak Sarawak akan menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Jun 2023 yang dikemaskini sehingga 15 September 2023.
“DPPR ini mengandungi seramai 22,804 pemilih, terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
“DPPR bagi PRK DUN N.67 Jepak, Sarawak akan muda dijual pada 16 Oktober 2023 (Isnin),” katanya.
Azmi berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi DUN Jepak dibuka bermula dari hari ini.
“Tarikh tutup permohonan 18 Oktober bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.
“Bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara ditutup pada 4 Oktober manakala kategori 1C iaitu agensi dan organisasi, pula pada 9 Oktober,” ujarnya.
Tambah beliau, seramai 446 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu.
Selain itu, sebanyak 14 pusat mengundi biasa yang mengandungi 45 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 15 buah dengan 46 tempat mengundi atau saluran.
“PRK N.67 Jepak Sarawak dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya. – MalaysiaGazette