Menteri Kesihatan, Dr Zaleha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbincangan dilakukan berkaitan kebimbangan penularan pandemik X bersama menteri-menteri kesihatan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Dr Zaleha Mustafa berkata, Malaysia akan sentiasa berjaga-jaga dan memantau perkembangan semasa berhubung kebimbangan itu.

“Saya baru balik dari New York dan kita berhimpun di New York itu, ada 194 negara ahli kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kita bersama juga dengan semua menteri, tak ada dibincangkan pun berkenaan seperti yang ditanya kemungkinan pandemik X dan sebagainya. Jadi saya rasa apapun kita sentiasa bersiap siaga apa sahaja.

“Dinamakan X itu kerana kita tahu lagi penyakit apa, sebab itu dinamakan X tetapi kalau ikutkan persediaan kita di peringkat Kementerian Kesihatan, kita memang sentiasa bersedia apa sahaja kemungkinan jika berlaku pandemik pada masa hadapan,” katanya pada pemberita.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Dr Zaleha Mustafa menyaksikan pertukaran dokumen Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Institusi Urologo dan Nefrologi (IUN), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi membuat lawatan dan menyaksikan pertukaran dokumen Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Institusi Urologi dan Nefrologi (IUN), di sini, hari ini.

“Di peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pun kalau ada, sudah tentu mereka juga memberikan peringatan kepada negara-negara lain,” ujar beliau.

Semalam, WHO melaporkan wujud kebimbangan kemunculan penyakit X yang berisiko menjadi pandemik dan mengancam nyawa dan populasi manusia.

Istilah Penyakit X digunakan WHO pada 2018, merujuk kepada agen penyakit baharu, sama ada ia virus, bakteria ataupun fungus dan belum mempunyai vaksin. – MalaysiaGazette