MELAKA – Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap penemuan sekujur mayat seorang wanita tempatan berusia 20-an di pesisir pantai Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaliknya, laporan bedah siasat bermula 3.15 petang hingga 8.15 malam semalam mengesahkan si mati meninggal dunia disebabkan pendarahan bawah selaput otak.
“Keputusan bedah siasat mendapati, mangsa meninggal dunia akibat ‘subdural haemorrhage’ (pendarahan bawah selaput otak) dan pihak forensik juga tleah mengambil cap jari untuk disemak dengan pihak Jabatan Pendaftaran negara.
“Ia bagi mengesan identiti mangsa memandangkan sehingga ke hari ini belum ada waris si mati tampil membuat pengecaman atau menuntut mayat berkenaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan orang ramai di pantai pelancongan itu gempar apabila menemui mayat berpakaian lengkap kira-kira pukul 8 pagi dalam keadaan sebahagian badan tertimbus di dalam pasir.
Kes setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis meminta mana-mana individu yang melihat kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.